Upload
others
View
2
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
79
KONTRASEPTIF DALAM MERANCANG KELUARGA
DARI PERSPEKTIF ISLAM
[CONTRACEPTIVES IN DESIGNING A FAMILY FROM
AN ISLAMIC PERSPECTIVE]
*1NOR ASHIKIN MAT NOR,
[email protected] 1ZURITA MOHD YUSOFF
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,
Universiti Sultan Zainal Abidin (Kampus Gong Badak),
21300 Kuala Terengganu, Terengganu.
*Corresponding Author
ABSTRACT
The rapid growth of modern technologies in medical research has produced various methods and
tools for pregnancy prevention. There are many factors that lead to the high usage of contraceptives.
Nevertheless, consideration of the need to use contraceptives in family planning must be based on the
Islamic law. The variety of contraceptive methods and tools does not necessarily assure benefits and
suitability for women who intend to do family planning. This article is to highlights the indication of
using contraceptives as a family planning in the Islamic perspectives. This research is qualitative
study used document analysis method to analyse related data. Data were obtained from various
sources including books on contemporary fiqh, fiqh turath and medical science as well as fatwas by
the National Fatwa Council. Besides, data were collected using the semi-structured interview method.
Interviews were conducted with obstetricians and gynaecologists as well as mufti. The results show
that the ruling on family planning changes based on the extent of the needs of the mother and the
family in family planning. Several aspects needs to be considered, such as the mother’s health status,
the financial status of the family, and the needs of the existing children. Also, there are differences in
the rulings on the use of contraceptive methods and tools.
Keywords: Contraceptive, Family Planning, Islamic Perspective.
ABSTRAK
Perkembangan pesat teknologi dalam bidang perubatan telah menghasilkan pelbagai kaedah dan alat
yang berfungsi sebagai pencegah kehamilan. Terdapat banyak faktor yang membawa kepada
peningkatan penggunaan kontraseptif. Namun demikian, pertimbangan syarak diperlukan untuk
menilai tahap keperluan seseorang individu untuk menggunakan kontraseptif dalam merancang
keluarga. Kepelbagaian kaedah dan alat kontraseptif tidak menjamin kebaikan dan kesesuaian bagi
wanita yang ingin merancang keluarga. Artikel ini bertujuan mengetengahkan indikasi dan kayu ukur
penggunaan kontraseptif sebagai perancang keluarga menurut perspektif Islam. Kajian ini merupakan
kajian kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis dokumen untuk menganalisis data-data
berkaitan. Data diperoleh daripada pelbagai sumber seperti kitab fiqh moden, kitab turath, buku
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
80
perubatan dan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Selain itu, data kajian ini diperoleh dengan
menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur. Temu bual dijalankan bersama pakar obstetrik
dan ginekologi dan juga bersama mufti. Hasil kajian mendapati hukum merancang keluarga berubah
berdasarkan tahap keperluan ibu dan keluarga dalam merancang kehamilan. Beberapa aspek perlu
diambil kira berdasarkan tahap kesihatan ibu, tahap kewangan keluarga, dan tahap keperluan anak
yang sedang membesar. Selain itu, terdapat perbezaan hukum tentang kaedah dan alat merancang
yang digunakan.
Kata Kunci: Kontraseptif, Merancang Keluarga, Perspektif Islam
PENDAHULUAN
Kontraseptif adalah merujuk kepada bahan, alat atau kaedah yang digunakan untuk menghalang
percantuman ovum dan sperma oleh pasangan suami isteri semasa atau sebelum melakukan hubungan
seks dengan tujuan untuk mengelakkan berlakunya kehamilan (Aminuddin, 2015:9). Tujuan
perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak dalam
tempoh yang tertentu dengan cara kekal atau sementara. Perkembangan semasa menunjukkan
pasangan suami isteri lebih cenderung memilih untuk merancang keluarga atas pelbagai sebab dan
faktor yang tersendiri. (Raehanul,2017: 124).
Menurut laporan laman sesawang Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
(LPPKN) 2018 menunjukkan peningkatan kadar penggunaan perancang keluarga ialah dari 36.0%
kepada 52.2% pada tahun 2014. Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan perancangan keluarga
secara meluas di negara ini tidak kira penduduk di bandar atau luar bandar. Kesan daripadanya
membawa kepada perubahan struktur keluarga yang menekankan kepada pengecilan saiz keluarga
untuk mengurangkan kadar kelahiran lebih dominan berlaku di bandar-bandar besar dalam kalangan
ibu bapa yang bekerja (Abd. Rahim, 2006: 2).
Merancang keluarga menjadi pilihan utama bagi pasangan yang telah berumah tangga sama
ada yang telah mempunyai anak atau mereka yang belum mempunyai anak. Isu peningkatan kos sara
hidup dan kesibukan ibu bapa dalam kerjaya mendorong kepada timbulnya pelbagai masalah seperti
pergolakan rumah tangga dan pengabaian anak-anak (Zaiton & Mohd Roslan, 2019:93). Artikel ini
menghuraikan persoalan kontraseptif dari sudut pengertian, jenis-jenis, faktor, kepentingan dan
analisis perancangan keluarga dari sudut perspektif Islam berserta hukum penggunaan alat dan
kaedah kontraseptif tersebut. Selain itu, indikasi dan kayu ukur penggunaan kontraseptif sebagai
perancang keluarga menurut perspektif Islam turut diperjelaskan agar penggunaan dan pemilihan
kaedah perancangan keluarga adalah bertepatan dengan landasan syarak.
KAEDAH MERANCANG KELUARGA
Merancang keluarga dapat dibahagikan kepada empat kaedah:
Pertama: Kaedah Perancang Secara Semula jadi
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
81
Kaedah perancang keluarga secara moden telah digunakan secara meluas pada masa kini. Namun
masih ada yang menggunakan perancang keluarga secara semula jadi walaupun pelbagai pil dan alat
pencegahan kehamilan boleh didapati dengan mudah di mana-mana klinik dan hospital kerajaan atau
swasta. Kaedah perancang secara semula jadi tidak bergantung kepada sebarang alat, kimia atau
hormon tiruan yang bertindak sebagai penghalang kehamilan. Kaedah perancangan keluarga yang
paling ringkas dan mudah adalah dengan mengukur tahap kesuburan dan mengamati perubahan yang
berlaku ke atas tubuh badan. Antaranya seperti merekod tempoh haid, mengukur suhu badan dan
melihat perubahan pada mukus serviks. Dengan cara tersebut seseorang boleh mengenal pasti hari
subur berdasarkan tanda-tanda yang telah disebut dan mengelakkan dari berhubungan seks pada hari
yang dijangka subur (Raehanul,2017: 131).
Selain itu, penyusuan bayi dalam jangka masa empat hingga enam bulan selepas melahirkan
bayi membolehkan seseorang wanita mendapat pertahanan semula jadi dari hamil disebabkan oleh
proses ovulasi atau kesuburan yang tertekan oleh hormon yang meningkat semasa penyusuan
(Hanafiah, 2000: 135). Oleh itu, jika si ibu menyusui bayinya pada enam bulan pertama dengan
sepenuhnya dan secara eksklusif tanpa campuran susu formula maka penyusuan tersebut boleh
melewatkan kedatangan haid. Ini bermakna dapat menjarakkan kehamilan tanpa bantuan perancang
moden. Keberkesanan potensi untuk mencegah kehamilan adalah sebanyak 98% (Siti Norazah,
2005:38). Perubahan hormon ini akan mengganggu kesuburan rahim dan menjadikan rahim wanita
tidak berupaya untuk menghasilkan persenyawaan. Namun begitu, ada juga yang hamil walaupun
sedang menyusui anak. Oleh itu, kaedah ini tidak akan menjamin 100% dapat mencegah kehamilan
(Wanajmi, 1991: 20).
Tidak asing juga kaedah yang telah digunakan sahabat pada zaman Rasululah S.A.W iaitu
kaedah ‘azal. Mengikut istilah dalam bahasa Latin ia dinamakan “coitus interreptus” “coitus
membawa maksud persetubuhan, “interreptus” pula membawa maksud gangguan. Dalam istilah
informal, cara ini digelar “tumpah luar” atau “cabut” (Siti norazah,2005: 118). Ia diamalkan dengan
cara lelaki menarik keluar zakarnya dari faraj sebelum puncak syahwat (orgasm) supaya air mani
tidak masuk dalam faraj yang mana boleh menyebabkan kehamilan. Namun tidak semua lelaki
berkebolehan mengawalnya dan mungkin air mani keluar dalam faraj sedangkan lelaki tersebut tidak
menyedarinya. Akibatnya, kehamilan akan berlaku dan keberkesanan kaedah ini bergantung kepada
cara pengamalan yang betul.
Kedua: Kaedah Merancang Keluarga Secara Tradisional
Dalam perbidanan Melayu tradisional, kebanyakan wanita mengamalkan kaedah perancang keluarga
secara tradisional kerana kesukaran mendapatkan perubatan daripada hospital dan klinik. Masyarakat
Melayu ketika itu lebih mudah mendapatkan tanaman herba untuk merawat dan mengubati penyakit.
Mereka sememangnya terkenal dengan penggunaan herba-herba di dalam perubatan dan masakan.
Berbagai petua dan pengamalan nenek moyang tentang penggunaan jenis-jenis pokok herba yang
terdapat di Malaysia.
Bidan kampung diibaratkan sebagai doktor dan jururawat pada ketika itu, dari proses bersalin
hingga ke proses berpantang diuruskan oleh bidan kampung. Mereka adalah golongan yang arif
mengenai bidang perbidanan dari sudut cara dan bahan yang digunakan dalam pembuatan herba
seperti jamu, maajun, ubat periuk dan berbagai ubatan lain yang menggunakan 100% bahan semula
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
82
jadi tanpa apa jua tambahan bahan kimia. Pengambilan herba selepas bersalin amatlah penting bagi
ibu-ibu bagi memulih dan merawat badan termasuk bahagian yang sangat penting iaitu rahim
(Anisah,2007: 129).
Li ping wong (2012:5) di dalam kajian sorotan, beliau mengatakan masih ada masyarakat
Melayu yang menggunakan kaedah merancang keluarga secara tradisional dengan mengamalkan
minuman air akar kayu dan air rebusan periuk. Selain itu, maajun turut digunakan sebagai pencegahan
kehamilan. Maajun adalah berasal daripada amalan perubatan para Mubaligh yang datang berkunjung
dan menetap di Tanah Melayu. Maajun yang dihasilkan oleh mereka ialah dengan mencampurkan
madu lebah asli, jintan hitam (habbatu al-sauda), telur ayam kampung, rempah ratus dan berbagai
jenis herba seperti kacip fatimah. Semua bahan berikut diadunkan menjadi pes dan digantikan dengan
membulat-bulatkan adunan tersebut (Anisah, 2007:191). Ada juga cara lain untuk menjarangkan anak
dari petua nenek moyang iaitu dengan memanggang dua batang kunyit sepanjang 3cm di atas api
kecil. Selepas itu, tumbuk kunyit sampai halus dengan mencampurkan sedikit garam dan dimasukkan
ke dalam segelas air. Air tersebut dikacau rata dan ditapiskan airnya untuk diminum (Sidang
Pengarang, 2008:148).
Ketiga: Kontraseptif Moden
Jenis-jenis kaedah merancang keluarga secara moden dapat dibahagikan kepada dua iaitu Kontraseptif berhormon dan Kontraseptif tanpa hormon. Kontraseptif tanpa hormon adalah seperti pil, suntikan depo dan implan. Manakala Kontraseptif tanpa hormon ialah seperti kondom, diafragma, dan IUD/IUS.
a) Kontraseptif Berhormon
Kontraseptif berhormon seperti pil perancang kehamilan adalah sejenis ubat yang dimakan
oleh wanita untuk mencegah kehamilan. Terdapat dua jenis pil iaitu pertama pil hormon
tunggal (progesteron sahaja) seperti Noriday dan Cerazette. Kedua ialah pil gabungan antara
estrogen (salah satu hormon yang dikelurkan oleh kalenjar ovari berfungsi sebagai hormon
wanita yang menentukan ciri kewanitaan) dengan progesteron (combined oral contraceptive
pill,COCP) seperti Marvelon, Mercilon, Yasmin,Yaz, Qlaira dan sebagainya. Semua pil
tersebut boleh didapati di klinik atau kedai-kedai farmasi (Nik Hazlina, 2015:20). Terdapat
perbezaan pada cara makan antara kedua-dua jenis pil ini. Bagi pengamal pil hormon tunggal,
mereka perlu mengambil pil tersebut pada setiap hari. Bagi pil hormon kombinasi pula,
pengambilan pil pada hari kelima haid sehingga hari yang ke 21 mengikut anak panah yang
ditunjukkan di belakang pek pil tersebut (Halipah, 2019).
Terdapat dua jenis suntikan untuk mencegah kehamilan yang biasa diamalkan oleh
wanita di negara ini. Suntikan pertama ialah jenis norethisterone enantate iaitu jenama
noristerat yang dapat bertahan lapan minggu dari tarikh disuntik. Suntikan yang kedua ialah
jenis medroxyprogestrone acetate (depo-provera) yang dapat bertahan lebih lama dari jenis
suntikan pertama iaitu selama 12 minggu (Nik Hazlina, 2015:45). Kedua-dua suntikan ini
mengandungi hormon yang sama iaitu yang menyamai hormon progestoren wanita dengan
cara menyuntiknya pada otot punggung. Bagi wanita yang memilih kaedah ini, dianggarkan
sejumlah lima peratus ke bawah mungkin mengalami kehamilan yang tidak dirancang dalam
tahun yang pertama. Seseorang wanita tidak perlu bimbang jika keluar sedikit tompok-tompok
darah (Junita&Mazlina, TT:77-78).
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
83
Selain pil dan suntikan, terdapat juga alat yang dinamakan implanon dengan cara
dipasang dengan suntikan atau susuk di bawah kulit lengan (subdermis) dan ia berupa batang
rod kecil sebesar batang mancis. Ia memberi kesan perlindungan jangka masa yang panjang
iaitu sehingga lima tahun lamanya. (Siti Nor Azah et al, 2005:106). Kaedah ini boleh
digunakan oleh semua wanita yang ingin menjarakkan kehamilan bagi beberapa tahun dan
ianya boleh dikeluarkan jika bersedia ingin hamil lagi. Berbeza dengan alat pencegahan
kehamilan yang lain, alat ini mudah dipasang dan senang ditanggalkan kerana tidak
memerlukan proses yang rumit dan sukar. Pasangan juga tidak merasa terganggu ketika
perhubungan seks kerana alat ini tidak berada pada faraj atau zakar.
b) Kontraseptif Tanpa Hormon
Kontraseptif tanpa hormon ialah alat atau kaedah merancang keluarga yang tidak
mengandungi sebarang bentuk hormon di dalamnya. Contoh kontraseptif tanpa hormon
adalah seperti kondom, diafragma, dan IUD/IUS. Kondom adalah sarung getah yang biasa
digunakan dengan cara memakainya pada alat kelamin lelaki yang sedang menegang. Ia
menghalang pengeluaran sperma dari masuk ke dalam rahim. Kondom juga berfungsi dapat
menghindari pelbagai penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan AIDS. Namun,
penggunaannya harus juga berhati-hati kerana kondom juga boleh pecah atau bocor ketika
melakukan hubungan seks yang mana boleh menyebabkan kehamilan (Sidek,1995: 117).
Wanita juga mempunyai kondom yang tersendiri dengan memasukkan ke dalam ruang vagina.
Tetapi, penggunaan kondom wanita tidak popular dipraktikkan di negara ini.
Bagi perempuan pula, terdapat alat diafragma iaitu sejenis pelapik yang diperbuat
daripada getah dan berbentuk bulat seperti penutup. Diafragma mestilah dalam saiz yang
sesuai agar berkesan dan selesa dipakai dan dibantu oleh doktor atau jururawat (Hanafiah,
2000: 134). Alat tersebut dipasang ke dalam salur tiub fallopio sebagai alat pelindung untuk
menghalang kemasukan sperma ke dalam rahim untuk proses persenyawaan. Alat ini
dimasukkan bersama gel spermisid iaitu sejenis cecair yang dapat mematikan sperma. Namun,
alat itu perlu diperiksa supaya ia tidak berubah kedudukannya selepas dipasang dari tempat
asalnya (Bonny,Tt: 209).
Selain diafragma, IUD/IUS juga merupakan satu alat kontraseptif yang tidak memiliki
hormon. Intrauterine device (IUD) dan intrauterine system (IUS) adalah sejenis perancang
kehamilan yang merupakan satu alat kecil yang dimasukkan ke dalam rahim wanita. Ia hanya
boleh dipasang dengan kepakaran doktor sahaja sama ada di klinik atau hospital supaya
keberkesanan alat dapat berfungsi dengan baik dan mengelakkan sebarang risiko yang akan
timbul (Nik Aziz, 1996: 122). Terdapat dua benang halus pada hujung alat tersebut yang
tergantung ke arah serviks dan wanita boleh merasai benang tersebut. Benang ini berfungsi
bagi memastikan alat tersebut masih berada pada kedudukan yang betul dan tidak tertanggal.
Satu lagi fungsi benang pula adalah untuk menarik keluar alat apabila ia tidak diperlukan lagi
(Mukhri, 2019). Ia dapat menyekat sperma daripada memasuki rahim dan bersenyawa dengan
ovum. Selain itu, alat ini juga dapat menghalang ovum yang sudah tersenyawa daripada
melekat pada dinding rahim dan mengekang dari berlakunya proses penempelan (implantasi).
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
84
Keempat: Pemandulan
Pemandulan perempuan dikenali dengan bilateral tubal ligation (BTL) atau dikenali juga proses
penstrilisasi merupakan satu proses mengikat, memotong atau membuang saluran fallopio atau
peranakan wanita supaya dapat menghalang telur dari sampai ke rahim. Tiub fallopio yang
menghubungkan ovari dengan rahim mesti dikeluarkan atau diikat. Oleh itu, peluang mengandung
adalah tipis kerana ini adalah kaedah kekal bagi menghalang kehamilan walaupun masih ada
kebarangkalian untuk mengandung (Norfadilawati, 2006: 178). Proses ini merupakan satu
pembedahan besar yang akan mengambil masa yang panjang kerana perlu tinggal di wad hospital
di bawah pemantauan doktor. Namun, cara yang banyak dipilih wanita ialah dengan mengikat
bahagian hujung tiub fallopio kerana cara ini tidak mengganggu proses kitaran haid dan ia lazimnya
berjalan seperti biasa (Wan Azmi, 1986: 248). Antara sebab seseorang wanita itu dibolehkan
memilih kaedah perancang keluarga ini ialah kerana wanita itu telah meningkat usia, mempunyai
rekod kesihatan yang tidak baik seperti penyakit kronik yang boleh membawa mudarat bagi wanita
dan anaknya dan juga bagi wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan melebihi tiga-lima
kali (Raehanul,2017:137).
Kaedah pemandulan bukan hanya bagi perempuan malah terdapat juga kaedah pemandulan
bagi lelaki yang dinamakan vasektomi (vasectomy). Vasektomi merupakan satu kaedah
pembedahan kecil bagi mengikat salur sperma (saluran vas deferens), kasi atau membuang buah
zakar (testis) yang akan menyebabkan ketiadaan air mani dalam sperma lelaki tersebut. saluran vas
deferens boleh dibuka atau disambung walaupun telah dipotong (Halipah,2019). Ia tidak melibatkan
masa proses yang panjang seperti kaedah pemandulan perempuan kerana tidak melibatkan alat
yang banyak dan risiko dari pembedahan ini adalah lebih rendah berbanding dengan pemandulan
wanita.
MERANCANG KELUARGA DARI PERSPEKTIF ISLAM
Syariat Islam menganjurkan perkahwinan bagi membentuk institusi keluarga yang dapat
menyumbang manfaat kepada agama. Antara hikmah daripada perkahwinan adalah dapat
menyalurkan perasaan kasih sayang, cinta dan dapat meredakan gelora nafsu kepada pasangan yang
halal. Seterusnya dapat menghasilkan ketenangan dalam hati dan jiwa bagi memudahkan melayari
bahtera rumah tangga. Melalui perkahwinan itulah akan menghasilkan keturunan dan zuriat dari
pasangan tersebut. Kasih sayang dalam rumah tangga antara suami isteri pasti lebih erat dengan
kehadiran zuriat. Malahan, Nabi Muhammad S.A.W sangat berbangga jika sesebuah keluarga
berusaha untuk mempunyai anak yang ramai tanpa perlu takut dan bimbang mengenai perbelanjaan
untuk menampung anak yang ramai kerana setiap rezeki anak-anak telah ditetapkan oleh Allah
S.W.T.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W:
مكاثر بكم المم ي وم القيامة ت زوجوا الولود الودود فان
Yang bermaksud: “kahwinilah wanita yang subur lagi penyayang kerana
sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya jumlah umatku di hadapan umat-umat
yang lain pada hari kiamat”
(al-Baihaqi, t,th:243)
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
85
Allah S.W.T juga telah melarang membunuh anak-anak kerana takut menjadi miskin dengan
mempunyai ramai anak. Ini kerana Allah telah menyediakan rezeki yang terbaik bagi hambaNya.
Terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang jelas menunjukkan larangan tersebut.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya)
kamilah ang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka”.
(Surah al-An’am 6: 151)
Dan Firman Allah S.W.T pada ayat yang lain juga membawa kepada makna yang hampir sama dalam
Surah al-Isra’ ayat 31 yang menjelaskan tentang pemeliharaan keturunan:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takutkan kemiskinan, kamilah
yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka
adalah satu kesalahan yang besar”.
(Surah al-Isra’17 :ayat 31)
Dalil dari al-Quran dan Hadis di atas jelas menunjukkan Islam sangat menggalakkan anak yang ramai.
Zuriat yang ramai dan berkualiti lebih diutamakan berbanding ramai tetapi tidak berkualiti. Dapat
difahami bahawa merancang keluarga bukan hanya merancang bilangan anak, namun apa yang perlu
ditekankan adalah merancang anak yang dapat memberi manfaat dan sumbangan kepada keluarga,
masyarakat dan agama. Perancangan keluarga telah diamalkan oleh para sahabat semasa zaman
Rasulullah S.A.W malah, tidak terdapat larangan dari al-Quran dengan tepat mengenai hukum
merancang keluarga. Terdapat segolongan para sahabat yang mengamalkan pencegahan kehamilan
dan segolongan lagi menolak pengamalan tersebut.
Merancang keluarga terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah pengurusan
keluarga. Dalam bahasa arab di sebut tanzim al-usrah تنظيم الاسرة (family planning). Ia bermaksud
menjarakkan kelahiran anak yang berikutnya dengan tujuan membentuk pengurusan keluarga yang
stabil dan menjauhi kecelaruan dalam menguruskan hal ehwal keluarga . Bahagian kedua pula ialah
tahdid al-nasal تحديد النسل (birth limitation) yang bermaksud mengehadkan dan membataskan
kelahiran atau menamatkan keupayaan pasangan untuk mendapatkan keturunan (Aminuddin,2016,
9). Contoh tahdid al-nasal ialah melakukan pemandulan yang dapat menyekat kehamilan secara
kekal.
Terdapat golongan yang berusaha untuk menjarakkan kelahiran anak dengan cara merancang
keluarga mereka atas pelbagai sebab dan tujuan. Golongan tersebut bukanlah wujud pada zaman
sekarang sahaja. Bahkan ia telah berlaku dalam kalangan sahabat di zaman Baginda Rasulullah
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
86
S.A.W. Hukum ‘azal dapat dikiaskan kepada hukum merancang keluarga kerana tujuannya adalah
sama iaitu untuk mencegah daripada berlaku kehamilan.
Dari sudut bahasa, ‘azal bermaksud menjauhkan sesuatu dari tempatnya (al-tanhiyah).
Manakala dari sudut istilah ialah mengeluarkan air mani bukan di dalam faraj wanita ketika lelaki
sedang mengalami klimaks semasa persetubuhan (Muhamad Rafiqi, 2015: 200).. Ia merupakan salah
satu kaedah merancang keluarga secara semulajadi tanpa melibatkan ubatan dan hormon. Manakala,
istilah dalam bahasa Roman ialah “coitus interreptus” “coitus yang membawa maksud persetubuhan,
“interreptus” pula membawa maksud gangguan. Semua istilah ini pada asasnya adalah membawa
maksud yang sama iaitu merancang keluarga.
Namun demikian, tidak ada nas yang melarang perancangan keluarga dalam al-Quran. Dalam
hadis pula terdapat pertembungan antara beberapa hadis yang menjadi perbahasan dalam kalangan
para ulama fiqah dalam menentukan hukum tersebut. Sejarah menunjukkan bahawa ‘azal
dipraktikkan oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah S.A.W dan sebahagian sahabat yang taat
mempraktikkannya sebagai satu tindakan kontraseptif atau pencegahan kehamilan. Ini disebutkan
berulang kali kepada Rasulullah S.A.W dan baginda tidak melarang mengamalkannya. Oleh kerana
tiada nas qat’ie sama ada dari Kitab atau Hadis yang mengharamkan atau yang mengharuskan maka
kedudukan hukum perancang keluarga dalam Islam agak kabur dan tidak jelas sehinggalah ulama
yang membahaskan mengenai masalah ini mengeluarkan fatwa walaupun masih ada perbezaan
mengikut kepada pandangan mazhab masing-masing.
FAKTOR YANG DIBOLEHKAN MERANCANG KELUARGA
Tahun demi tahun, semakin ramai orang yang mengamalkan merancang keluarga atas pelbagai sebab,
tujuan, alasan dan faktor yang tersendiri. Oleh itu, pasangan yang ingin merancang kehamilan
perlulah membuat penilaian dan pengamatan sebelum memilih apa jua jenis perancang keluarga yang
terdapat pada masa sekarang. Beberapa faktor yang dibolehkan untuk merancang keluarga dari
perspektif Islam dinilai dari pelbagai sudut seperti kesihatan ibu dan anak, pendidikan dan sahsiah,
ekonomi dan sosial kemasyarakatan. Jika sesuatu penyakit atau keadaan yang tidak membolehkan
ibu tersebut hamil dan melahirkan, maka kehamilan pada masa tersebut akan memudaratkan
kesihatan ibu atau anak yang bakal dilahirkan. Sebagai contoh, ibu menghidap penyakit serius dan
dalam tempoh penyembuhan selepas menjalani pembedahan.
Kajian telah menunjukkan ibu-ibu yang mempunyai ramai anak iaitu dalam lingkungan 10
hingga 11 orang akan menghadapi berbagai masalah kesihatan seperti lesu, anemia, masalah rahim,
buasir, kematian bayi baru lahir dan sebagainya. Ini adalah kerana terlalu kerap melahirkan anak
dengan jarak waktu yang sangat dekat (Sidek, 1995: 107).
Selain itu, dibolehkan merancang bagi suami isteri yang telah mempunyai beberapa orang
anak dan khuatir tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam mendidik anak dengan
cara didikan yang sempurna. Keluarga yang banyak anak menanggung tekanan psikologi yang akan
mengganggu keharmonian rumahtangga. Ancaman psikologi seperti ini boleh melibatkan sahsiah,
perangai dan segala yang berkait zahir mahupun batin (Wan Azmi,1986: 232). Imam al-Ghazali
(2005:64) membolehkan pencegahan kehamilan jika seseorang berasa khuatir akan terganggu
ibadahnya dan hubungannya dengan Allah S.W.T apabila mempunyai ramai anak atau menyebabkan
keluarga terjerumus dengan dosa.
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
87
Tambahan pula, masalah ekonomi yang sentiasa menjerut masyarakat pada masa sekarang membawa
kepada kecenderungan melakukan pekerjaan yang haram seperti rasuah, ketirisan dalam kewangan
dan sebagainya. Demi kepentingan keluarga dan anak-anak mereka, mereka sanggup mengetepikan
larangan Allah S.W.T. Oleh itu, dibolehkan merancang keluarga jika seseorang itu khuatir dengan
adanya anak akan memaksanya mencari nafkah hidup dengan cara haram seperti mencuri dan
merompak untuk memenuhi keperluan keluarga. (Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan: 2016)
Selain daripada faktor yang telah disebut, cara kehidupan yang tidak sihat seperti masalah
sosial dalam kalangan anak muda, kes pengabaian anak oleh ibu bapa kerana sibuk dengan kerjaya
juga boleh menjadi faktor keharusan untuk merancang keluarga. Ini kerana mereka bimbang tidak
dapat mengawal dan terpengaruh dengan berbagai masalah jenayah yang akan membawa kepada
kerosakan keturunan dan agama. (Hanina & Mastura, 2010: 71-73). Walau bagaimanapun, ada juga
pasangan yang baru berkahwin mereka ingin melambatkan kehamilan kerana memerlukan masa yang
sesuai dan persediaan psikologi kewangan, kediaman dan sebagainya. Namun mereka tidak boleh
merancang keluarga atas sebab ingin hidup bebas dan terlepas dari tanggungjawab menjaga dan
menguruskan anak.
HUKUM MERANCANG KELUARGA
Terdapat tiga hukum dalam merancang keluarga iaitu harus, haram dan makruh. Ulama salaf berbeza
pendapat mengenai hukum ‘azal. Pertama ulama yang mengharuskan iaitu, Ibn Abdul Barr
mengatakan harus melakukan ‘azal dengan persetujuan daripada isteri (Ibnu Hajar, tt, 308). Begitu
juga kebanyakan pandangan dalam mazhab Shafie mengizinkannya dengan bebas tanpa keizinan.
Mereka berhujah bahawa wanita mempunyai hak dalam melakukan hubungan kelamin tetapi tidak
berhak pada ejakulasi (Abdul Rahim, 1997:180-196). Selain itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’
Ulum Al-Din dan Ibn Hajar al-Asqalani juga mengizinkan pasangan suami isteri melakukan ‘azal.
Inilah Pendapat yang mashur dalam kalangan pengikut Imam Shafie iaitu mengharuskan azal
walaupun tanpa persetujuan isteri.
Sebagaimana terkandung dalam hadis, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
هناكنا ن عزل على عهد : عن جابر رض قال رسول الله ص ف ب لغ ذلك نب الله ص ف لم ي ن
Yang bermaksud: Dari Jabir r.a berkata, “Kami pernah ‘azal pada zaman Rasulullah S.A.W,
kemudian sampailah hal itu kepada Nabiyullah S.A.W, tetapi baginda tidak mencegah kami”.
(Muslim ,1987 : 237)
Pendapat majoriti ulama yang mengharuskan pencegahan kehamilan di bantah oleh Ibn Hazm, beliau
berpendapat perbuatan tersebut adalah haram (Ibnu Hajar,tt,308). Menurut Said Sabiq (1984:195)
dalam kitab Fiqh al-Sunnah, pendapat ini juga dipegang oleh Mazhab Zahiri. Manakala, terdapat juga
tiga orang Ulama dari Mazhab Shafie yang tidak bersetuju dengan pendapat majoriti dan
mengharamkan pasangan mengamalkan pencegahan kehamilan secara sementara, antara mereka
ialah al-Imad Ibn Yunus, Ibn Abd Al-Salam dan Ibn Hibban (Allie,1998 :42). Pandangan tersebut
bersandarkan kepada hadis dari Judamah binti Wahab yang mana Rasulullah S.A.W menyifatkan
perbuatan tersebut sebagai menguburkan anak yang masih hidup secara halus.
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
88
Sabda Rasulullah S.A.W:
"ث سأل وه عن العزل؟ ف قال رسول الله "ذلك الوأد الفي
Hadis dari Judamah binti Wahab as-Sadiah yang bermaksud: “kemudian Rasulullah ditanya oleh
orang ramai mengenai ‘azal, baginda menjelaskan, itu merupakan pembunuhan kecil, nanti di hari
kiamat mereka akan bertanya apa dosa mereka dikuburkan hidup-hidup”.
(Muslim, 1987: 239)
Namun begitu, Sabda Baginda S.A.W yang menyamakan ‘azal dengan penguburan hidup-hidup tidak
menunjukkan pengharaman. Ia bermaksud melarang secara tanzih iaitu makruh tetapi tidak haram
(al-Ghazali, 2005: 65). Berdasarkan pada dakwaan Ibn Hazm iaitu hadis pengharusan ‘azal adalah
dibatalkan itu, ulama secara umum menolak pandangan beliau berdasarkan oleh hadis yang
dilaporkan oleh ke enam-enam Ulama Hadis kecuali Imam Abu Daud (Danial, 2015: 233).
Imam al-Nawawi pula berpendapat hukum ‘azal adalah makruh (karahah tanzihiyyah) dan
tidak disukai sama ada wanita tersebut setuju untuk ‘azal atau tidak setuju kerana perbuatan tersebut
membataskan keturunan atas alasan ekonomi (Allie, 1998:41). Ulama menghukumkan merancang
keluarga sebagai makruh jika tujuannya adalah kerana takut keluarga jadi miskin dan kekurangan
nafkah (Abu Zahrah, t.th:100).
HUKUM KONTRASEPTIF DAN PEMANDULAN
Secara umumnya, hukum penggunaan apa jua alat atau kaedah kontraseptif seperti pil perancang,
suntikan, implant, IUD, kondom dan lain-lain yang berbentuk pencegahan kehamilan sementara yang
dapat menyekat persenyawaan benih adalah diharuskan selagi mana tujuan merancang keluarga
adalah bersesuaian dengan kehendak syarak (Ahmad Taha, 1992:126). Hukum tersebut dikiaskan
dengan hukum ‘azal kerana ‘illat (alasan) adalah mencegah dari berlakunya kehamilan (Raehanul,
2017:131). Kebanyakan ulama yang mengizinkan penggunaan kaedah ini termasuk ulama
kontemporari. Ini kerana alat ini bukan menghalang persenyawaan berlaku antara benih lelaki dan
perempuan tetapi benih itu telah bercantum, namun dihalang untuk melekat atau menempel pada
rahim.
Mufti Wilayah Persekutuan telah menyenaraikan bahawa keharusan penggunaan kontraseptif
dengan memenuhi syarat-syarat tersebut. Pertama, mestilah berpegang dan beriktikad bahawa anak
adalah kurniaan Allah S.W.T, manusia tidak berhak untuk menghalangnya dan wajib bagi pasangan
memelihara dan menjaga maslahat kandungan tersebut. Kedua, kaedah kontraseptif yang digunakan
mestilah tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya bagi isteri. Ketiga,
pencegahan kehamilan yang dilakukan mestilah mendapat persetujuan kedua-dua pasangan.
Keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia kali ke 8 yang bersidang pada 22 November 1973 telah membincangkan secara
terperinci mengenai merancang keluarga. Hasil perbincangan tersebut telah memutuskan bahawa
menggalakkan amalan merancang keluarga kepada umum adalah haram, tetapi bagi orang
perseorangan berserta dikuatkan dengan sebab-sebab yang sesuai pada pertimbangan syarak adalah
diharuskan (2015:151).
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
89
Selain itu, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia kali ke 12 yang bersidang 20 Februari 1977 telah memutuskan bahawa perancangan
keluarga dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, pemandulan lelaki atau perempuan diharamkan.
Kedua, mencegah dari beranak atau hadkan bilangan anak hukumnya haram melainkan sebab-sebab
yang diizinkan syarak bagi orang perseorangan. Ketiga, menyusun keluarga dari segi kesihatan,
pelajaran dan kebahagian keluarga dengan cara yang lain daripada perkara pertama dan kedua di atas
adalah harus (2015:153).
Justeru itu, pemandulan secara kekal sama ada pemandulan bagi lelaki atau perempuan
diharamkan oleh kebanyakan ulama (Abdul Rahim,1997:227) berdasarkan tujuan menjaga objektif
umum syariat yang menekankan penjagaan lima perkara iaitu menjaga agama, jiwa, keturunan, akal
dan harta (al-Raysuni,2015:23). Namun ulama sepakat mengharamkan perancangan keluarga secara
kekal tanpa persetujuan doktor yang Muslim. Antara ulama yang mengharamkan perancang keluarga
secara kekal ialah Syeikh Syaltut dari Mesir. Majoriti tokoh-tokoh Islam yang telah menghadiri
perhimpunan Islam dan merancang keluarga di Rabat pada tahun 1971 juga menyuarakan pendapat
yang sama (Danial, 2015: 235).
Walau bagaimanapun masih terdapat keharusan pada kaedah pemandulan bagi wanita ketika
keadaan yang dapat memudaratkan si ibu. Contoh, jika si ibu telah melahirkan anak melalui
pembedahan yang melebihi empat kali maka kaedah pemandulan bagi wanita menjadi harus
(Muhamad Rafiqi, 2015: 205). Dengan syarat kaedah pemandulan yang diikat boleh dibuka kembali
pada tempoh yang sesuai untuk hamil (Hazarudin, 2020). Ini kerana pelekatan atau parut di rahim
meningkatkan risiko dan membahayakan kehamilan. Keadaan seperti uri melekat (plasenta akreta)
dan uri di bawah (plasenta previa) menimbulkan masalah tumpah darah yang banyak semasa proses
pembedahan kelahiran (Nik Azlina, 2015: 104).
KESIMPULAN
Tujuan utama perkahwinan adalah mengembangkan umat Islam yang ramai dan berkualiti. Perubahan
zaman dalam arus kemodenan telah membawa masyarakat kepada keperluan perancangan keluarga
yang lebih terurus dan harmoni. Merancang keluarga bagi menjarakkan kelahiran dan mengatur
kehidupan yang lebih berkualiti adalah tidak bertentangan dengan syariat. Namun, penekanan
terhadap hukum merancang keluarga perlu diukur oleh sejauh mana keperluan sesebuah keluarga
untuk merancang keluarga sama ada dari segi kesihatan fizikal dan emosi, sosial dan kemasyarakatan,
pendidikan, dan kewangan. Perancangan keluarga tidak boleh dilakukan melainkan dengan sebab
dan alasan yang diizinkan oleh syarak. Secara umum, semua jenis kontraseptif yang bertujuan
mencegah kehamilan secara tidak kekal dan hanya untuk sementara waktu bagi tempoh penyembuhan
proses bersalin dan memfokuskan penjagaan anak yang masih kecil adalah diharuskan dengan nasihat
pakar dalam bidang perubatan. Namun, diharamkan pemandulan secara kekal kerana ia bercanggah
dengan objektif syarak untuk menjaga nasab dan keturunan Setiap orang yang ingin merancang
keluarga perlu membuat pertimbangan dari pelbagai sudut seperti tujuan bagi menjadikan kehidupan
yang lebih terurus, memberikan didikan dan perhatian secukupnya untuk anak dan memastikan emosi
dan kewangan ahli keluarga terjaga. Hal ini bagi menjaga kemaslahatan keluarga terutama ibu yang
telah menanggung segala kesusahan dan kesakitan semasa proses kehamilan dan kelahiran. Di
samping menolak mafsadah yang akan timbul jika sesebuah keluarga mengabaikan perancangan
keluarga yang baik.
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
90
RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Abdul Rahim Umran (1997). Islam & KB. Jakarta: Pt Lentera Basritama.
Abu Zahrah, Muhammad (Tanpa Tahun). Tanzim al-Usrah wa Tanzim al-Nasal. Al-Kaherah: Dar al-
Fikr al-Arabi.
Ahmad Taha.(1992). Kedoktoran Islam, (Trj.Ismail Ibrahim). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Allie Haroun Sheik (1998). Principles on Family Planning. Delhi: Adam Publishers and Distributors.
Aminuddin Sofyan(2016). Problematika Pengunaan Alat Kontrasepsi suntik 3(Tiga) Bulan Pada
Masyarakat Kec. Puwatuu Kota Kendari Ditinjau dari Hukum Islam. Institut Agama Islam
(IAIN) Kendiri.
Al-Asqalani,Ahmad bin Ali bin Hajar.(T.Th). Fath al- Bari, Syarah Sahih al-Imam al-Bukhari. J.9.
Beirut: Dar al-Ma’rifah. Al-Baihaqi, Abi Bakri Ahmad bin al-Husain Bin Ali (T,Th). Al-
Sunan al-Kubra. Kitab al-Nikah, No.Hadith:13760, J.10, Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Ghazali, Abi Hamid.(2005). Ihya’ Ulum al-Din, J.2. Dar al-Bayan al-Arabi. Al-Azhar.
Al-Raysuni, Ahmad (2015). Al-Qawa’id al-Asas li ‘Ilm Maqasid al-Shari’ah. Al-Kaherah: Dar al-
Kalimah.
As-Said Sabiq, (1984). Fiqh al-Sunnah. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.
Bonny Dannat (Tanpa Tahun). Empat Puluh Hari Selepas Melahirkan, Masalah dan
Penyelesaiannya. Kuala Lumpur: Synergy Media.
Danial Zainal Abidin, (2015). Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden. Selangor. : Pts Millennia
Sdn. Bhd.
Halipah Khalid( Pegawai Perubatan dan Kesihatan UD54) Temu Bual Dijalankan Pada 23 Ogos
2019 Di Klinik Kesihatan Gerik, Perak.
Hanafiah Mohd Salleh (2000). Keluarga dan Kesihatan. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Hanina Halimatusaadiah Hamsan & Mastura Mohamad.(2010). Belia Berisiko, Faktor Penyebab dan
Invertensi. Putrajaya: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.
Hasan Basri Omar,(2011). Zuriat Biologi Reproduksi Rekaan dari Perspektif Islam. Selangor: Pts
Islamika Sdn. Bhd.
Hazarudin Baharudin (Timbalan Mufti Melaka). Temu Bual Dijalankan Pada 29 Januari 2020 Di
Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah, Melaka.
Junita Indarti & Mazlina Ismail(Tanpa Tahun). Panduan Kesihatan Wanita. Kuala Lumpur: Synergy
Media.
Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia(2015). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Shah Alam.
Li Ping Wong(2012). Qualitative Inquiry into Premarital Sexual Behaviours and Contraceptive use
Among Multi-ethnic Young Women: Implications for Education and Future Research. Us
National Library of Medicine, National Institute of Health. Dec 2012.V0l 7. Issue 12.
Muhammad Rafiqi Hehsan (2015). Q&A Fiqh Perubatan. Batu Caves: Publishing House Sendirian
Berhad.
Mukhri Hamdan ( Pakar Obstetrik dan Ginekologi, PPUM). Temu Bual Dijalankan Pada 11 Oktober
2019 Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Vol. 3, No.1 (2020) E-ISSN: 2637-0271
91
Muslim, Abi Muslim Bin Al-Hujjaj (1987), Sahih Muslim, Kitab Al-Nikah, No Hadith 138&141, J.3,
Beirut: Muassasah Izz Al-Din.
Nik Hazlina Nik Hussain. (2015). Apa Yang Perlu Anda Ketahui Tentang Perancang Keluarga,.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Aziz Nik Pa (1996). Islam dan Perancang Keluarga. Singapura.: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Raehanul Bahraen (2017). Fiqih Kontemporari Kesihatan Wanita. Jakarta : Pustaka Imam Asy-
Syafie.
Siti Norazah Zulkifli, Low Wah Yun, Wong Yut Lin & Christina Tan Phoay Lay.(2005). Penyakit
Khusus Wanita. Times Edition Marshall Cavendish. Shah Alam.
Sidek Nontak(1993). Kemusykilan Wanita dari Perspektif Perubatan. Utusan Publication &
Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
Wan Azmi (1986). Ranjau Hidup Keluarga ,Aspek Psikologi dan Sosial. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn Bhd.